Memang tidak dapat dinafikan lagi, ramai peniaga air balang yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan semenjak 18 Mac lalu. Saya perhatikan ada juga segelintir peniaga yang berkeras untuk berniaga air. Tapi ianya amat berisiko untuk disita oleh pihak penguatkuasa.
Nak tak nak, hidup kena diteruskan juga. Jika tidak berniaga, tiadalah pendapatan. Itulah sisi pahit kehidupan seorang peniaga.
Saya perhatikan ramai juga yang telah menjalankan urusan jual beli secara cash on delivery (COD). Itulah cara yang paling berkesan sekarang sekiranya hendak berniaga ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Jadi, suka saya kongsikan bagaimana hendak menjual air balang secara online. Hanya perlu terima tempahan melalui whatsapp sahaja.
Persediaan Sebelum Melakukan COD.
Bagi mengelakkan berlakunya masalah ketika melakukan COD air balang, saya senaraikan beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian. Dengan mengambil berat perkara ini, ianya boleh menjimatkan kos bahan api dan masa penghantaran yang lebih cepat.
Pengangkutan.
Untuk menjalankan COD ini, anda sebagai peniaga perlulah mempunyai kenderaan sendiri. Sama ada motosikal ataupun kereta. Tapi untuk mengelakkan berlakunya penggunaan bahan api yang tinggi, saya syorkan lebih baik menggunakan motosikal. Tambah-tambah lagi, anda hanya ingin menghantar air sahaja, bukannya barangan yang besar.
Tahu selok-belok jalan.
Seeloknya anda sudah tahu jalan bagi mengelakkan tersesat ketika penghantaran. Walaupun anda boleh menggunakan applikasi seperti Waze ataupun Google Map, adakalanya aplikasi-aplikasi tersebut tidak menunjukkan arah yang tepat.
Telefon.
Nak menggunakan Waze sekalipun anda perlulah memilih telefon yang bersesuaian. Daripada pengalaman saya sendiri, pastikan telefon itu mempunyai 4G ram dan kapasiti bateri yang besar. Kenapa perlu telefon 4G ram? Sebab, apabila ada ramai tempahan yang masuk melalui whatsapp, percayalah telefon yang kurang 4G ram akan menjadi lembap (hang atau lag).
Menyentuh bab bateri pula, sila pastikan anda mempunyai powerbank bagi mengelakkan telefon anda mati kehabisan bateri di tengah jalan.
Bagaimana nak buat iklan?
Ini adalah perkara utama bagi memastikan bisnes COD anda ini berjaya atau tidak. Tanpa pembeli sudah pasti tiada duit masuk bukan.
Paling mudah untuk anda iklankan air balang anda adalah dengan pos iklan di group facebook yang berkaitan. Contohnya, sekiranya anda tinggal di Senawang, anda boleh masuk ke dalam group facebook Warga Senawang.
Sila pastikan group yang anda pos iklan itu berkaitan dengan kedudukan anda sekarang. Sebabnya anda menjalankan servis COD, bukannya servis pengeposan menggunakan courier pos laju atau J&T.
Selepas ada yang berminat nak tempah air daripada anda, sila simpan info mereka seperti nama untuk anda jadikan mereka sebagai database pelanggan anda. Lain hari anda boleh menggunakan fungsi broadcast di whatsapp untuk iklan kepada mereka pada lain-lain hari.
Di bawah ini pula cadangan ayat iklan yang boleh anda gunakan sebagai promosi air balang anda. Ianya boleh dipos dalam whatsapp atau facebook.

Itulah serba ringkas bagaimana hendak menjual air balang ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini. Cara ini tidak terhad kepada menjual air sahaja, kerana ianya berkesan dalam menjual makanan juga. Jika anda ingin dapatkan lagi teknik menjual semasa musim PKP ini, saya syorkan anda untuk baca perkongsian Abang Preggo ini.
Sedikit info tentang Abang Preggo, dia adalah seorang peniaga yang menjual spagheti hanya dari rumah sahaja. Bisnes ini dia lakukan bukan semasa PKP ini bermula, tapi sudah lima tahun sudah dia lakukan. Ada boleh menggunakan strategi yang dia gunakan dalam melariskan air balang anda ketika PKP ini.
Boleh klik butang di bawah untuk baca perkongsian beliau ini.